Alhamdulillah, sempat bersarapan pagi dengan rakan sekampus dulu. Lokasi di The Original Kayu, Dataran Sunway, Kota Damansara. Kenyang sungguh makan roti telur banjir! Susah betul nak jumpa dia ni. Selalu sibuk memanjang. Maklumlah, jadi pioneer kepada salah sebuah syarikat terkenal dunia. Kawan saya ini adalah rakyat Malaysia pertama yang bekerja dengan The Lego Group. Syarikat besar ini sedang dalam proses untuk mempunyai sebuah pejabat sendiri di Kuala Lumpur, jadi kawan saya adalah antara salah seorang yang akan bertungkus-lumus memastikan The Lego Group mempunyai pejabat yang efisien di bumi Malaysia menjelang Januari nanti.
Betul ke rakyat Malaysia pertama? Habis, yang di Legoland tu tak kira? Hah, kawan saya ni beritahu yang Legoland bukan berada di bawah seliaan The Lego Group. Walau bagaimanapun, pemilik The Lego Group tetap mempunyai pegangan saham dalam Legoland.
Pagi ini banyak juga yang kami bincangkan, terutama tentang idea-idea bisnes baharu. Kawan saya ni seorang akauntan jadi perbincangan ini agak realistik dan kritikal. Berbeza kalau lepak dan borak dengan rakan-rakan yang berkecimpung dalam dunia kreativiti. Bicara hanya lebih kepada idea yang dicambah melalui imaginasi dan angan-angan. Beruntung saya mempunyai rakan-rakan dari pelbagai bidang kerjaya, jadi otak dan pemikiran saya jadi seimbang bila bercakap tentang bisnes. Syukur.
