02 November 2013

Peta Ajaib: Musafir Dua Negeri

Keberuntungan apakah ini? Alhamdulillah, tadi Allah izinkan saya berhabis masa di masjid, menghadiri forum perdana yang dikendalikan oleh pendakwah tersohor, Dr. Danial Zainal Abidin. Beliau berkebetulan berada di Kuala Lumpur untuk menjayakan rancangan terbitan Primeworks Studio untuk siaran TV9, Tanyalah Ustaz selama tiga hari dan sempat singgah berforum di masjid kami malam ini. Selama ini saya sekadar membaca buku-buku tulisan beliau dan menonton di kaca televisyen, namun hari ini dapat melihat beliau secara live dan sempat juga berjabat tangan sambil bertentang mata.

Dr. Danial ketika bersiaran langsung di TV9

Mengaji dan Mengkaji

Forum Dr. Danial, memang mengagumkan. Apa tidaknya, beliau memang terkenal kerana selalu bercakap tentang mukjizat Al-Quran. Termangu-mangu saya menghadam satu persatu hujah yang beliau lontarkan. Dr. Danial membawa satu isu yang sangat penting iaitu mengaji dan mengkaji. Umat Islam Malaysia memang terkenal sebagai sangat celik huruf Al-Quran, tapi dari sudut kefahaman isi kandungan kitab suci ini adalah sangat lemah. Dr. Danial menceritakan yang seorang makcik datang ke masjid pada setiap malam Jumaat untuk membaca surah Yassin selama 30 tahun, tetapi apabila ditanya makna setiap ayat dalam surah itu dia tidak tahu. Baca Yassin untuk ambil berkat sahaja katanya.

Dr. Danial menggelarkan Al-Quran sebagai suatu peta ajaib yang menjadi petunjuk untuk kita, sang musafir di dua negeri. Dua negeri itu ialah Negeri Duniawi dan Negeri Ukhrawi. Al-Quran bersifat ‘aqwam’ iaitu paling benar, paling adil dan paling tepat. Sekiranya kita benar-benar faham Al-Quran, maka kita tidak akan mencari perkara-perkara lain yang benar, adil ataupun tepat kerana Al-Quran itu sudah aqwam. Namun, untuk memahami Al-Quran kita perlu ikut metodologi yang benar. Al-Quran perlu difahami menerusi kitab-kitab tafsir yang muktabar bukannya menggunakan logik akal kita semata-mata. Itulah yang menjadi masalah besar umat Islam negara ini kerana sifat kita yang malas mengkaji menjadikan kita tenggelam dalam huruf-huruf Al-Quran selama bertahun-tahun tetapi tidak faham. Kita mengaji tetapi malangnya tidak mengkaji. Rugi sungguh. (Saya pun hehe…)

Gambar Hiasan dari Google

Apabila faham kita mampu bertadabbur. Beliau melontarkan pertanyaan, apakah itu sebuah kecemerlangan? Al-Quran menjawab; cemerlang yang hakiki adalah memperolehi jannah. Bagaimana hendak memperoleh jannah? Al-Quran menjawab; siratal mustaqim. Jalan yang lurus terbina dari dua komponen hebat iaitu 1) Iman yang sahih dan 2) Amal yang benar. Iman dan amal pula dijana menerusi ilmu. Ilmu telah dipersetujui oleh semua ulama muktabar sebagai kunci nombor satu untuk pintu kejayaan. Seperti dalam Surah Muhammad ayat ke-19, Al-Quran telah memformulakan kejayaan mesti diraih menerusi turutan: Ilmu, Iman dan Amal. Inilah formula paling tepat!

Dr. Danial berulangkali menyebut perkataan faalam (faham) sebagai suatu senjata penting untuk berjaya. Segala-galanya bermula dengan faham. Ramai saintis dan pengkaji yang akhirnya mengucapkan kalimah syahadah kerana mereka faham tentang Islam. Faham akan melahirkan hijrah paling besar. Pemahamanlah yang akan menjadikan kita berjaya di dunia dan akhirat dengan kebenaran Islam. Kesimpulan yang beliau ingin sampaikan tadi ialah, mengaji dan mengkaji. Fahami Al-Quran dan hiduplah dengan peta ajaib ini sepanjang permusafiran kita menuju jannah.


0 ulasan:

Post a Comment