03 November 2013

Roti Telur Banjir Satu!

Alhamdulillah, sempat bersarapan pagi dengan rakan sekampus dulu. Lokasi di The Original Kayu, Dataran Sunway, Kota Damansara. Kenyang sungguh makan roti telur banjir! Susah betul nak jumpa dia ni. Selalu sibuk memanjang. Maklumlah, jadi pioneer kepada salah sebuah syarikat terkenal dunia. Kawan saya ini adalah rakyat Malaysia pertama yang bekerja dengan The Lego Group. Syarikat besar ini sedang dalam proses untuk mempunyai sebuah pejabat sendiri di Kuala Lumpur, jadi kawan saya adalah antara salah seorang yang akan bertungkus-lumus memastikan The Lego Group mempunyai pejabat yang efisien di bumi Malaysia menjelang Januari nanti.


Betul ke rakyat Malaysia pertama? Habis, yang di Legoland tu tak kira? Hah, kawan saya ni beritahu yang Legoland bukan berada di bawah seliaan The Lego Group. Walau bagaimanapun, pemilik The Lego Group tetap mempunyai pegangan saham dalam Legoland.

Pagi ini banyak juga yang kami bincangkan, terutama tentang idea-idea bisnes baharu. Kawan saya ni seorang akauntan jadi perbincangan ini agak realistik dan kritikal. Berbeza kalau lepak dan borak dengan rakan-rakan yang berkecimpung dalam dunia kreativiti. Bicara hanya lebih kepada idea yang dicambah melalui imaginasi dan angan-angan. Beruntung saya mempunyai rakan-rakan dari pelbagai bidang kerjaya, jadi otak dan pemikiran saya jadi seimbang bila bercakap tentang bisnes. Syukur.

02 November 2013

Peta Ajaib: Musafir Dua Negeri

Keberuntungan apakah ini? Alhamdulillah, tadi Allah izinkan saya berhabis masa di masjid, menghadiri forum perdana yang dikendalikan oleh pendakwah tersohor, Dr. Danial Zainal Abidin. Beliau berkebetulan berada di Kuala Lumpur untuk menjayakan rancangan terbitan Primeworks Studio untuk siaran TV9, Tanyalah Ustaz selama tiga hari dan sempat singgah berforum di masjid kami malam ini. Selama ini saya sekadar membaca buku-buku tulisan beliau dan menonton di kaca televisyen, namun hari ini dapat melihat beliau secara live dan sempat juga berjabat tangan sambil bertentang mata.

Dr. Danial ketika bersiaran langsung di TV9

Mengaji dan Mengkaji

Forum Dr. Danial, memang mengagumkan. Apa tidaknya, beliau memang terkenal kerana selalu bercakap tentang mukjizat Al-Quran. Termangu-mangu saya menghadam satu persatu hujah yang beliau lontarkan. Dr. Danial membawa satu isu yang sangat penting iaitu mengaji dan mengkaji. Umat Islam Malaysia memang terkenal sebagai sangat celik huruf Al-Quran, tapi dari sudut kefahaman isi kandungan kitab suci ini adalah sangat lemah. Dr. Danial menceritakan yang seorang makcik datang ke masjid pada setiap malam Jumaat untuk membaca surah Yassin selama 30 tahun, tetapi apabila ditanya makna setiap ayat dalam surah itu dia tidak tahu. Baca Yassin untuk ambil berkat sahaja katanya.

Dr. Danial menggelarkan Al-Quran sebagai suatu peta ajaib yang menjadi petunjuk untuk kita, sang musafir di dua negeri. Dua negeri itu ialah Negeri Duniawi dan Negeri Ukhrawi. Al-Quran bersifat ‘aqwam’ iaitu paling benar, paling adil dan paling tepat. Sekiranya kita benar-benar faham Al-Quran, maka kita tidak akan mencari perkara-perkara lain yang benar, adil ataupun tepat kerana Al-Quran itu sudah aqwam. Namun, untuk memahami Al-Quran kita perlu ikut metodologi yang benar. Al-Quran perlu difahami menerusi kitab-kitab tafsir yang muktabar bukannya menggunakan logik akal kita semata-mata. Itulah yang menjadi masalah besar umat Islam negara ini kerana sifat kita yang malas mengkaji menjadikan kita tenggelam dalam huruf-huruf Al-Quran selama bertahun-tahun tetapi tidak faham. Kita mengaji tetapi malangnya tidak mengkaji. Rugi sungguh. (Saya pun hehe…)

Gambar Hiasan dari Google

Apabila faham kita mampu bertadabbur. Beliau melontarkan pertanyaan, apakah itu sebuah kecemerlangan? Al-Quran menjawab; cemerlang yang hakiki adalah memperolehi jannah. Bagaimana hendak memperoleh jannah? Al-Quran menjawab; siratal mustaqim. Jalan yang lurus terbina dari dua komponen hebat iaitu 1) Iman yang sahih dan 2) Amal yang benar. Iman dan amal pula dijana menerusi ilmu. Ilmu telah dipersetujui oleh semua ulama muktabar sebagai kunci nombor satu untuk pintu kejayaan. Seperti dalam Surah Muhammad ayat ke-19, Al-Quran telah memformulakan kejayaan mesti diraih menerusi turutan: Ilmu, Iman dan Amal. Inilah formula paling tepat!

Dr. Danial berulangkali menyebut perkataan faalam (faham) sebagai suatu senjata penting untuk berjaya. Segala-galanya bermula dengan faham. Ramai saintis dan pengkaji yang akhirnya mengucapkan kalimah syahadah kerana mereka faham tentang Islam. Faham akan melahirkan hijrah paling besar. Pemahamanlah yang akan menjadikan kita berjaya di dunia dan akhirat dengan kebenaran Islam. Kesimpulan yang beliau ingin sampaikan tadi ialah, mengaji dan mengkaji. Fahami Al-Quran dan hiduplah dengan peta ajaib ini sepanjang permusafiran kita menuju jannah.


Hadiah Langkah Bendul

Petang ini dapat mesej dari Mama. Adik perempuan ketiga sudah dirisik orang. Mama memang sudah lama ingin menantu. Menunggu saya bernikah entahkan bila. Adik baru berusia 19 tahun dan majlis akan berlangsung Mac depan. Insya Allah.

Gambar hiasan pinjam dari Google
Bagaimana rasa ada adik ipar ek? Macam pelik, ada orang luar dalam keluarga sendiri. Haha, nervous pun ada nak jadi abang ipar ni . Apapun sebab adik saya bernikah dahulu, kalau mengikut adat sepatutnya ada hadiah langkah bendul. Rasanya saya dapat hadiah apa ya? (Haha berangan!)

Lepak, Borak & Makan

Hari ini sempat lepak, borak dan makan dengan member lama. Member yang sama-sama buat assignment masa belajar dekat MMU dulu. Erm, rasanya bukan buat sama-sama kot, tapi yang tolong buatkan untuk dia. Haha! Cerita lama. Makan tengah hari di KFC Kota Damansara. Merasa kehangatan KFC Crazy Crunch yang boleh tahan. Bolehlah... 
KFC Crazy Crunch. Gambar dari FB rasmi KFC Malaysia.
Borak-borak pasal bisnes, khabarnya ingin buka sebuah kedai kopi tahun depan. Sempat juga bercerita tentang pengalaman dia di Joe's Barber. Nak gunting rambut pun kena tunggu 5 jam. Mampu??? Nak gunting rambut kena booking awal seminggu. Positioning dan branding yang mantap barangkali. Info tambahan, Joe's Barber adalah milik rapper terkenal tanah air, Joe Flizzow.

Suasana dalam Joe's Barber Shop. Gambar hiasan dipinjam dari Google.
Saya sempat tanya pada member seorang ini, “Apa benda yang kau nak buat, yang kau suka, jadi ke tak jadi tu lain citer.” Jawapan yang agak mengejutkan bila member saya yang sangat maskulin dan terkenal dengan kenakalannya ini rupa-rupanya dahulu bercita-cita nak jadi fashion designer! Tapi ibu tercinta tak bagi sebab takut anak jantannya jadi lembut haha! Saya cuma gelak dalam hati . Sebagai seorang yang berjiwa besar (kot? haha!) saya sama sekali tidak akan mentertawa idea atau cita-cita orang lain. Tapi sebab dia member saya dan saya kenal dia, jadi tergelaklah juga. Anyway it’s never too late bro. You will get my full support! Sekurang-kurangnya ada kedai butik milik sendiri, jadilah. Saya akui yang member saya ni memang mempunyai deria yang tajam dalam fesyen. Insya Allah bakal berjaya tidak lama lagi.

01 November 2013

Tidak Perlu Jadi Rasis Untuk Berjaya


Pagi tadi, tertonton Buletin Pagi ditangani oleh rakan saya sendiri, Mior Abdul Malek Raiyani. Ada satu cerita yang menarik perhatian saya. Sebuah kilang sos pedas di California, Amerika Syarikat dikenakan tindakan undang-undang oleh penduduk setempat kerana mengakibat penyebaran udara pedas si sekitar kilang tersebut. Kilang tersebut milik seorang Cina, dan pada botol sos pedas itu memang ada label bertulisan Cina. Apa kena-mengena Cina dengan sos pedas yang biasanya sinonim dengan orang Mexico?

Kilang Huy Fong Foods Inc. di California
Bangsa Cina memang bangsa yang bijak berniaga. Mereka boleh hidup di mana pun di dunia ini dengan hasil perniagaan. Jadi, kita di Malaysia ini turut mengalami situasi yang sama. Orang Melayu patut berhenti menyebut-nyebut bahawa ini tanah kita, kita patut ambil semula hak kita. Eh, lupa? Tanah (bumi) inikan milik Allah? Allahlah yang berhak mengurniakan kekayaan kepada sesiapa yang Dia mahu. Apa yang lebih penting Cina bukan hanya berjaya di negara kita malah di seluruh dunia. Adakah kekayaan mereka itu datang bergolek-golek dan berguling-guling hanya dengan duduk goyang kaki? Jawapannya tentu tidak. Mereka kaya kerana mereka berusaha. Usaha itulah yang menjadi asbab kepada kekayaan dan Allah menerusi sifat Ar-rahman-Nya mengurniakan kekayaan kepada mereka ini kerana mereka mengikut fitrah (berusaha=berjaya).


Point saya ialah berhentilah kita menyalah-nyalahkan orang lain hanya kerana kita sendiri gagal membentuk jatidiri yang sempurna. Kalau kita mahu berjaya, berusaha sahajalah dan letakkan sepenuh penggantungan kepada Allah, tuhan sekalian alam.